Pages

Friday, March 25, 2011

AKU BAGAIKAN KELAWAR DISINAR RAHMAT-MU.

" Hisablah dirimu sebelum dihisab". "Kecamlah dirimu sebelum dirimu sendiri dikecam Allah".
" Anggaplah dirimu sebagai orang yang paling berdosa".  " Kalau ditakdirkan semua manusia 
masuk kedalam syurga kecuali seorang….aku rasa akulah yang seorang itu."
 
Demikian titipan mutiara kata orang yang hampir dengan Tuhan. Pegangan diri para Rasul, 
Nabi dan Wali. Kerana keyakinan itu lahirlah manusia seperti  Abu Bakar - yang Merasakan 
dirinya lebih hina daripada sehelai rumput; Umar - yang merasakan nasib seekor anjing lebih
bernasib baik daripada dirinya;  Abu Huzaifah- yang sentiasa curiga dengan iman dan islamnya; 
Salman al-farisi- yang merasakan maut sentiasa memburunya. Kini kuasah rasa itu yang datang 
cuma sekali-sekala. Rasa yang bukan selalu bertandang di dalam hati. Bukan mudah menghinakan 
diri di depan Allah. Amat payah menekan ego dan bangga ke paras bawah. Jarang diri mahu 
luahkan kata-kata pahit yang terlalu sakit untuk didengar.Kini ku adukan, megapa sangat memberat
langkah ini menuju Allah?Mengapa diri seperti ditolak ke belakang dalam perlumbaan menuju khairat
(kebaikan) dan maghfirah(pengampunan)? Mengapa hati terhijab lagi dari taufik dan pimpinan? 
Mengapa hati masih tertipu oleh bujukan nafsu, terpesona dengan nikmat dunia ? mengapa fikiran 
seakan tersumbat, jiwa lesu dan  jasad memberat di jalan jihad ?
 
Ya Allah, masih adakah lagi petunjukMu buat insan yang derhaka  sepertiku ? Kulakukan dosa dalam
sedar dan yakin KAU Maha Melihat. Aku lawan kehendakMu  terang-terangan. Ya Allah, alangkah 
besarnya kederhakaanku kepadaMu. Ya Allah jauhkan aku dari kekufuran dan nifaq seperti jauhnya 
Timur dan Barat….
 
Oh, aku tersepit, terhimpit diruang sempit. Di antara dua rasa yang tidak menentu. Buat baik kurasa 
derita, buat jahat terasa siksa. Kucuba membenci dunia tetapi kecintaan akhirat belum terasa. 
Mujahadahku memberat, sarat dengan pelbagai rintangan. Ammarah dan lawwamah silih berganti 
membunuh kecintaan Ilahi yang datang sekali-sekala. Mungkar Dan maksiat menenggelamkan 
secebis nikmat yang pernah dikecap dari munajat dan doa. Inilah rintihan, oleh hati yang kian tertekan. 
Dari diri yang amat resah, amat gelisah. Jiwa disayat dek sembilu tajam. Terbenam di dalam luka 
yang paling dalam. Membuak darah, membengkak nanah yang parah. Bisanya sampai ke hulu hati. 
Membakar jiwa yang gersang daripada semua ketenangan dan ketenteraman. Dunia dipandang gelap. 
Walau mentari, Bulan dan bintang masih menebar sinar..tetapi matahati sudah nanar. Jiwa kian buta. 
Kian goyah taufik dan hidayah….
 
Oh..mengapa sehitam itu lorong hidupku. Ku cari punca masalah hingga tafakurku terganggu jemu. 
Apakah ini pencarian sesat memberat penat ? Apakah ini resah rasa yang makin menanah mendenyut 
bisa ? Telahku tinggalkan permulaan jalan, telah habis dayaku melangkah tetapi hujungnya masih jauh. 
Aku sesat dalam rimba keliru beribu liku. Apakah aku yang berjalan atau jalan yang berjalan ? Aku sangsi. 
Aku mahu lari ke hujung dunia. Mahu ku lontar jauh-jauh pilu dan duka ini. Mahu ku bnating masalah yang 
memeningkan ini. Biar duka yang membengkak ini pecah…Biar memancut bisanya yang bergaul pedih. 
Aku tidak peduli. Kadang aku termenung meminta jawapan hati kepada semua ini. Di mana puncanya? 
Di mana tapak mula semua keserabutan ini. Aku mengadu kepada Allah. Dia menjawab melalui sabda 
Rasul-Nya:" Sesungguhnya yang dikatakan dosa itu ialah sesuatu yang mendatangkan keresahan hati" 
Tetapi pelik aku mungkiri janji itu. Aku langgar lagi pantang larangNya. Kutempuh lagi jalan dosa. 
Aku tidak punya kekuatan untuk bertindak.  Aku terbelenggu oleh nafsuku. Dan ketika itu datangkan firman
Allah ini mengingatkan : " Apakah tidak kamu lihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhan" 
Ku baca berkali-kali firmanMu itu. Aku bertuhankan nafsuku ? Bunyinya amat pedih dan pahit. 
Mungkin inilah yang pernah dikatakan oleh Ibrahim Adham: " Aku telah bunuh tuhanku".
 
Ya Allah aku sakit…sembuhkanlah. Ya Allah aku lalai..ingatkanlah aku.  Ya Allah aku liar…jinakkanlah aku. 
Aku tempang, aku capik…bimbing dan pimpinlah aku. Sesungguhnya aku bagaikan kelawar buta yang 
disimbah sinarMu yang melimpah. Namun ya Allah..aku belum berputus asa. Rasa berdosa inipun sudah
sebesar rahmat. Hati yang masih boleh merintih petanda ia masih bernyawa. Masih berdenyut nadi 
kebenaran walaupun getarannya terlalu lemah. Masih ada titik kecil dalam jiwaku buat menampung 
peringatan dariMu. Aku sykur wahai Tuhan…kerana aku sedar selama ini aku tidak bersyukur. 
Kini ku atur pelayaran baru…dengan kolekku bertampung seribu. Dayungnya pernah patah. Layarnya
koyak rabak,  dilaut luas ombak mengganas, badai bertiup buas. Namun aku akan terus berkayuh. 
Aku yakin KAU tidak jemu padaku selagi aku tidak berputus asa dengan-Mu. Dengannya akan 
kuburu taubat yang belum terlambat. Aku tidak akan mengah dan lelah lagi. Kerana bekalku kini 
harapan, bernafas dengan janjiMU tentang pengampunan!!